ada soalan ?
SOAL JAWAB
Apakah itu aqiqah?
Aqiqah menurut bahasa ialah ‘memotong’. Pada asalnya ia merujuk pada rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan aqiqah kerana ianya harus dipotong (dicukur).
Menurut istilah pula aqiqah ialah haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu.
Bagaimana Aqiqah Barakah melaksanakan aqiqah semasa PKP?
Bagi Aqiqah di luar negara, kami telah memilih dan mengiktiraf wakil mengiktiraf wakil-wakil untuk setiap negara bagi melaksanakan aqiqah tersebut dengan sempurna di bawah pemantauan kami mengikut SOP negara mereka.
Apa beza buat aqiqah di luar negara dengan negara sendiri?
Pelaksanaan aqiqah yang PALING AFDAL (terbaik) ialah melaksanakan dengan tangan sendiri di tempat sendiri.
Bagi memberi alternatif untuk yang tidak mampu atau berpeluang melaksanakan seperti di atas, maka pelaksanaan melalui perwakilan samada di dalam atau luar negara tiada berbeza.
Bolehkah orang lain (selain ibu bapa) melaksanakan aqiqah untuk anaknya?
Boleh. Jika sekiranya ibu bapa kepada anak tersebut kurang berkemampuan atau tidak mampu untuk melakukannya atas sebab-sebab tertentu, maka pihak lain boleh melaksanakan aqiqah untuk anaknya, tetapi ia mestilah dimaklumkan kepada ibu bapanya.
Adakah Aqiqah Barakah syarikat yang berdaftar?
Ya, syarikat Aqiqah Barakah telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), nombor pendaftaran kami ialah PG0516243-U dan berstatus Aktif.
Adakah kami perlu membayar caj tambahan untuk perkhidmatan dan penghantaran?
Tidak. Harga bagi pakej- pakej tersebut sudah termasuk caj perkhidmatan.
Bolehkah berniat atau aqad menggunakan kertas atau telefon sahaja?
Hukum aqad adalah sunnah. Akad adalah lafaz persetujuan dua pihak. Akad boleh dilafazkan dengan mulut, atas kertas atau meredhai sesuatu itu berlaku walaupun tidak disebut. Paling penting kedua-dua pihak jelas dengan apa yang sedang dilakukan. Setiap amal itu dimulakan dengan niat dan niat itu boleh berlaku dalam hati atau melafazkan dibibir dan menyempurnakan dengan amalan.
Bilakah waktu afdhal melaksanakah aqiqah?
Waktu yang afdal melaksanakan aqiqah ialah hari ke-7 kelahiran. Hal ini sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Setiap kelahiran bayi itu tertebus dengan aqiqahnya yang disempurnakan (sembelihan) untuknya pada hari ke-7 dan dicukur rambutnya serta diberikan namanya” (HR. Abu Daud no. 2838, An Nasai no. 4220, Ibnu Majah no. 3165, Ahmad 5/12).
Tetapi, jika sudah terlepas hari ketujuh, tiada masalah untuk membuat aqiqah di hari yang lain. Hukumnya tetap sama iaitu sunnah muakkad, apabila dibuat, mendapat pahala yang besar disisi Allah.
perlaksanaan aqiqah sebaik-baiknya dilaksanakan semasa anak berumur 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau sebelum baligh, akan tetapi aqiqah tidak dihadkan kepada anak kecil yang baru lahir sahaja, ianya juga dituntut kepada mereka yang sudah dewasa yang belum dilaksanakan aqiqah atas apa-apa sebab, maka ibu bapa hendaklah mengaqiqahkan anak mereka walaupun selepas mereka baligh kerana tiada had masa bagi tuntutan ibadah aqiqah.
Berapa ekor haiwan yang perlu disembelih untuk aqiqah?
Bilangan sembelihan aqiqah untuk anak lelaki adalah 2 ekor kambing manakala bilangan sembelihan untuk anak perempuan adalah 1 ekor kambing – Riwayat Abu Daud (2842)
Bolehkah kita menyerahkan sepenuhnya urusan sembelihan aqiqah atau qurban kepada pihak penyembelihan dan pihak pengurusan tanpa melihat pemyembelihan itu secara langsung?
Ya boleh diwakilkan seperti konsep wakalah.Penyembelihan aqiqah atau qurban perlu dipastikan menepati syarat-syaratnya, contoh seperti syarat usia haiwan 2 tahun ke atas dan sembelihan itu mesti diniatkan aqiqah atau qurban.
Apakah perbezaan ibadah Aqiqah dan Qurban?
Ibadah aqiqah ialah sembelihan haiwan ternakan kambing yang dilakukan pada hari ke-7 kelahiran bayi atau jika sudah terlepas hari ke 7 sekalipun, boleh dibuat bila bila masa sekalipun.
Manakala ibadah qurban ialah sembelihan haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing yang dilakukan pada hari raya Aidil Adha iaitu 10 hingga 13 haribulan Zulhijjah
Apakah hukum anak yang telah meninggal dalam kandungan atau sebelum sempat hari ke -7?
Tidak perlu diaqiqahkan bagi yang meninggal dalam kandungan ibunya,
Bagaimanakah hukum bermulanya ibadah aqiqah?
Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa, “Pada zaman Jahiliyyah apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.
Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu. Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah SAW. Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
Apabila kita melihat penjelasan tentang sejarah ibadah aqiqah seperti di atas, tradisi aqiqah ini adalah suatu tradisi yang diterima oleh Islam dengan mengadakan pembetulan pada bahagian-bahagian tertentu. Hikmah penyembelihan aqiqah itu diterima oleh Islam kerana aqiqah itu merupakan suatu upacara yang memperlihatkan kegembiraan, mensyukuri nikmat, serta merupakan suatu ibadah sosial.
Apakah hikmah melaksanakan ibadah aqiqah?
Hikmah di sebalik pelaksanaan ibadah aqiqah itu sangat banyak, hanya Allah yang mengetahuinya, akan tetapi ulama telah menggariskan beberapa hikmah yang dapat difahami, antaranya:
- Aqiqah itu merupakan suatu ibadah yang bertujuan mendekatkan diri anak kepada Allah SWT dari peringkat awal lagi.
- Sebagai fidyah (tebusan) untuk menebus diri anak dari segala mara bahaya dan bala bencana, sebagaimana Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibas.
- Sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kurniaan anak dan nikmat rezeki.
- Mengukuhkan lagi pertalian kekeluargaan dan hidup bermasyarakat melalui jamuan dan agihan lauk daripada daging aqiqah.
- Untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada hari kiamat.
Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi.
Apakah yang perlu dibaca ketika penyembelihan haiwan aqiqah?
Sudah menjadi intipati amalan dalam Islam bahawa setiap amalan itu perlu didahului dengan doa. Ini bagi menambahkan lagi kesempurnaan sesuatu ibadah itu. Maka dalam konteks penyembelihan haiwan aqiqah, pertama, saudara perlu membaca Bismillahirrahmanirrahim. Kemudian diikuti dengan doa “Oh Tuhan, ini adalah aqiqah si Polan (sebut nama anak), ia merupakan nikmat daripada-Mu, dan kepada-Mu kami kembalikan.”
Apakah haiwan sembelihan yang dibolehkan untuk ibadah aqiqah?
Menurut jumhur ulama, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih bagi ibadah aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibas. Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
- Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
- Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
- Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
- Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
- Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Bolehkah mengaqiqahkan anak lelaki dengan seekor kambing sahaja?
Anak lelaki sebaik-baiknya diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut. Ini kerana Rasulullah S.A.W. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan; “Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Apa hukum jika melaksanakan aqiqah di luar negara?
Hukum melaksanakan aqiqah ialah SUNNAH MUAKKADAH iaitu sunnah yang dituntut.
- Adapun hukum melaksanakannya di luar negara ialah HARUS.
- Aqiqah yang terbaik adalah yang dibuat sendiri, dilihat depan mata, dimasak dan dijamu pada orang ramai.
- Tapi ada yang tak mampu atas sebab kos, masa, dan keadaan tak sesuai seperti covid sekarang.
- Jadi bila tak mampu buat semua, janganlah tinggalkan semua.
Apa hukum asal melaksanakan ibadah aqiqah?
Hukum melaksanakan ibadah aqiqah ialah SUNAT MU’AKKAD (sunat yang sangat dituntut melakukannya) berdasarkan pendapat yang kuat dalam mazhab As-Syafie.
Bolehkah laksnakan aqiqah untuk diri sendiri selepas meningkat dewasa?
Boleh, jika berkemampuan (sudah mempunyai pendapatan sendiri), kerana Rasulullah SAW juga melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri selepas menjadi Rasul iaitu ketika umur Baginda SAW 40 tahun.
Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh Aqiqah Barakah?
Kelebihan kami adalah kerana kami pernah Bersama dalam misi kemanusiaan dan mempunyai hubungan rapat dengan orang di Kem Pelarian tersebut. Disini, kami tawarkan perkhidmatan aqiqah khusus untuk membantu mereka menjana ekonomi umat Islam disana dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka, disamping dapat menyalurkan sumbangan orang ramai kepada fakir miskin disana.
Bolehkah melaksnakan ibadah aqiqah di musim wabak Covid 19 ini?
Alhamdulillah, team operasi kami yang berada disana bersedia untuk menerima tempahan tuan dan puan. Tiada halangan dari pihak berwajib setakat ini.
Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?
Seperti yang kita sama-sama ketahui bahawa bagi anak lelaki sunat diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, dan bagi anak perempuan sunat diaqiqahkan dengan 1 ekor kambing, akan tetapi jika sekiranya seekor lembu atau unta disembelih dengan niat menggantikan tujuh ekor kambing atau 7 bahagian aqiqah, maka ia dibolehkan.
Adakah wajib menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dalam ibadah aqiqah?
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki itu bukanlah suatu kemestian, kerana Rasulullah S.A.W sendiri telah melaksanakan aqiqah cucu Baginda, Hassan dan Hussain dengan masing-masing seekor kambing. Dalam sebuah hadis telah diriwayatkan; “Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
melaksanakan aqiqah bagi pihak anak yatim dengan menggunakan harta anak yatim adalah tidak dibenarkan dalam Islam.
Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?
Aqiqah seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka jika sekiranya saudari berniat ingin berbuat demikian dan saudari benar-benar mengetahui bahawa ibu bapa saudari belum diaqiqahkan, maka laksanakan dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima amalan yang saudari ingin laksanakan. Akan tetapi sekiranya ibu bapa ada mewasiatkan demikian maka wajib ditunaikan.
Benarkah daging aqiqah sunat dimasak manis?
Memang benar apa yang nyatakan, berbeza dengan korban yang dagingnya sunat diagihkan secara mentah, aqiqah pula sunat dimasak dengan masakan yang manis-manis dan dibuat jamuan atau diagihkan setelah dimasak. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah R.A.; “Menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.”
Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
Inilah antara perbezaan yang ada di antara korban dan aqiqah, daging korban sunat diagihkan dalam keadaan mentah, manakala daging aqiqah pula sunat diagihkan setelah dimasak dengan masakan yang manis. Adapun hikmah kenapa kita disarankan memasak daging aqiqah dengan masakan yang manis-manis ialah kerana ia sebagai doa harapan baik (tafa-ul), mudah-mudahan akhlak dan kelakuan anak tersebut akan menjadi baik dan manis dipandang.
Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidab boleh dipatah-patahkan?
Kita dituntut supaya tidak mematahkan tulang-tulang haiwan sembelihan aqiqah, akan tetapi sunnah dipotong mengikut sendi-sendi haiwan tersebut. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad S.A.W. mengadakan aqiqah anaknya, maka Rasulullah S.A.W. bersabda; “Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya”. Antara hikmah di sebaliknya tuntutan tersebut ialah supaya anak-anak tersebut akan membesar dengan sempurna dan tidak ditimpa perkara yang boleh mencacatkannya sehingga patah dan lain-lain.
Bolehkah haiwan sembelihan aqiqah dijadikan hidangan untuk kenduri kahwin?
Di samping menunjukkan kesyukuran kepada Allah S.W.T terhadap kurniaan anak, antara tujuan utama dianjurkan ibadah aqiqah di dalam Islam ialah untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga, jiran, rakan taulan, dan orang Islam yang miskin dengan mengadakan kenduri dan jamuan, maka mengikut pendapat Imam Syafie menyembelih haiwan aqiqah dan membuat kenduri kahwin pada masa yang sama adalah dibolehkan.
Bolehkah bersedekah dengan kesemua daging aqiqah?
Memang tujuan sebenar tuntutan aqiqah ialah bersedekah bagi melahirkan kesyukuran atas kurniaan anak yang baru dilahirkan, akan tetapi jika sekiranya seseorang ingin mengambil keberkatan ibadah tersebut dengan memakan sedikit daripadanya adalah dibolehkan. Walau bagaimanapun bersedekah dengan semua daging aqiqah tersebut kepada yang memerlukan amatlah baik.
Apakah sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah anak?
Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat, maka beberapa sunnah boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah tersebut, antaranya;
- Mencukur rambut bayi tersebut pada hari ketujuh kelahirannya.
- Memberikan nama pada bayi tersebut.
- Bersedekah dengan emas atau perak seberat rambutnya yang telah dicukur.
- Mengkhatan bayi tersebut. mengkhatankan anak pada hari ketujuh dan hari penyembelihan aqiqahnya adalah sunat. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Aisyah R.A. “Bahawasanya Nabi S.A.W mengkhatankan Hassan dan Hussain pada hari ketujuh dari hari kelahiran mereka.”
Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Qurban?
Pada Hari Raya Korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut, jadi apabila bertemu Hari Raya Korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal, saudara boleh menggabungkan niat perlaksanaan aqiqah anak dengan niat korban, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan hari raya maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja.
Adakah aqiqah itu amalan tradisi atau adat resam orang Melayu?
Tidak. Aqiqah bukanlah amalan tradisi atau adat resam orang melayu, bahkan ia merupakan ibadah dan sunnah Nabi SAW, malah baginda sendiri melaksanakannya ke atas cucundanya iaitu Hassan & Husain R.Anhuma.
Apakah hukum non muslim makan daging aqiqah?
Makruh hukumnya menjamu daging sembelihan aqiqah sedangkan masih terdapat golongan faqir miskin semuslim yang tidak diberikan daging aqiqah tersebut.
Haram hukumnya bilamana daging sembelihan dari ibadah aqiqah itu diberikan sepenuhnya kepada golongan bukan Islam berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw:
“Janganlah kamu bersahabat dengan bukan Islam dan jangan kamu memberi makan kecuali mereka yang bertakwa.”
(Riwayat Abu Dawud).